10 Strategi Bijak Kewangan Untuk Anak Muda Menjadi Kaya

Ilmu kewangan adalah ilmu yang sangat penting bagi memastikan kita dapat menilai dan merancang perbelanjaan kita dengan baik supaya status kewangan kita sentiasa terjamin. Orang muda sangat digalakkan mempelajari dan mengamalkan ilmu kewangan supaya tidak menyesal dikemudian hari.

Dalam artikel ini, kita bincangkan beberapa tips kewangan yang dapat membantu orang muda menguruskan kewangan mereka dengan lebih baik. Orang muda disini bermaksud mereka yang baru saja menamatkan pelajaran dan memulakan pekerjaan atau baru saja nak memulakan kehidupan dalam erti kata sudah mula menanggung diri sendiri.

#1 – Amalkan tabiat menabung dari awal

Ini nasihat yang biasa kita dengar namun benar-benar membantu khususnya bagi yang baru menamatkan pelajaran dan mula mencari kerja. Mencetak resume, membuat salinan sijil-sijil dan mengepos surat atau borang untuk memohon kerja sememangnya memerlukan kos. Apatah lagi kos pengangkutan jika berjaya ke peringkat temuduga. Oleh itu, buatlah tabungan khas untuk mencari kerja bagi yang bakal tamat belajar di kolej mahupun di universiti.

#2 – Mencari pekerjaan

Dapatkan pekerjaan secepat mungkin. Usah memilih sangat, sebaliknya bekerjalah untuk mendapatkan pengalaman dahulu. Bila sudah ada pengalaman, bolehlah mencuba untuk mencari peluang yang lebih baik lagi. Bila sudah ada pengalaman kerja, peluang untuk mendapat pekerjaan yang lebih baik adalah lebih cerah berbanding dengan mereka yang langsung tidak ada pengalaman kerja. Untuk jangka masa panjang elakkan bekerja secara sepenuh masa dengan majikan yang tidak mencarum KWSP dan SOCSO. Jangan terkejut kerana masih ada yang melanggar undang-undang dengan tidak mencarum KWSP dan SOCSO.

#3 – Menguruskan perbelanjaan

Berbelanjalah mengikut kemampuan diri bukan mengikut orang lain. Contohnya memberli kereta. Belilah mengikut kemampuan kita. Perbelanjaan yang dirancang akan mengelakkan pembaziran dan membolehkan kita mempunyai simpanan yang tetap setiap bulan.

Bezakan keperluan dan kehendak supaya dapat menguruskan perbelanjaan dengan lebih berkesan. Keperluan adalah perbelanjaan yang anda benar-benar perlukan untuk teruskan kehidupan dan pekerjaan. Kehendak pula adalah perbelanjaan yang memberikan keselesaan pada kehidupan anda. Kedua-dua perbelanjaan melibatkan keperluan dan kehendak haruslah dirancang dengan teliti.

Simpan dulu, baru berbelanja. Inilah prinsip yang sangat ditekankan oleh perunding kewangan tak kiralah dimana peringkat usia kita dalam pengurusan kewangan. Disarankan bagi orang muda menyimpan pendapatan atau gaji sekurang-kurangnya 20% hingga 30% dan ke atas. Paling baik jika dapat menyimpan sebanyak 50% ke atas. Oleh itu, uruskanlah perbelanjaan dengan baik supaya anda dapat mengasingkan pendapatan anda untuk tujuan simpanan nanti.

#4 – Pelbagaikan jenis simpanan

Sebaik sahaja anda mula bekerja, pastikan anda faham dan periksa sama ada anda diberikan pelan persaraan ataupun skim KWSP. Jika bekerja disektor swasta, pastikan anda menyemak penyata KWSP dari semasa ke semasa.

Walau bagaimanapun, jika bekerja untuk kerajaan, usah harapkan pencen dan jika bekerja disektor swasta, usah harapkan KWSP semata-mata. Rancanglah persaraan anda sebaik saja menerima gaji pertama anda.

Sebaiknya daftarlah segere Tabung Haji supaya anda boleh memulakan simpanan dari awal dan giliran haji juga tidak menjadi terlalu lambat buat anda. Niatkan supaya anda boleh mengerjakan haji secepat mungkin. Dengan cara ini, anda lebih bersemangat untuk menyimpan di Tabung Haji.

Walaupun belum ada calon anda sudah boleh memulakan tabung perkahwinan dan tabung untuk memiliki rumah sendiri. Jika boleh, belilah rumah sebelum berumur 30 tahun kerana anda boleh memilih tempoh pembiayaan yang panjang.

Selain itu, anda juga perlu sediakan dana kecemasan supaya anda bersedia menghadapi sebarang kecemasan yang semestinya memerlukan anda mengeluarkan duit.

#5 – Mengurus dan mengawal hutang

Hutang pendidikan haruslah dilunaskan secara berstruktur. Semak bayaran bulanan dan jika perlu berundinglah dengan mereka jika ingin menstruktur semula bayaran bulanan. Jangan mengelak bayaran kerana boleh dikenakan panelti dan tindakan undang-undang.

Berhati-hatilah untuk mengambil hutang baru. Pastikan hutang tersebut bukan “hutang jahat”. Belajarlah dari perunding kewangan untuk menguruskan hutang-hutang yang sedia ada dengan lebih baik.

#6 – Menambahkan pendapatan

Orang muda mempunyai banyak masa terluang selepas bekerja. Maka sesuai sangat untuk mencari sumber pendapatan lain atau “duit tepi”. Di zaman moden ini tidak susah untuk mencari duit tepi. Program seperti dropship dan affiliate membolehkan kita menjana pendapatan dengan modal yang paling minimum.

Hasil duit tepi boleh memenuhi kehendak anda dlam memberikan keselesaaan pada kehidupan anda. Namun adalah lebih baik jika anda mengasingkan sedikit duit tersebut untuk simpanan dan juga untuk membayar hutang-hutang anda itu.

#7 – Bertukar dari bekerja kepada berniaga “full time”

Ramai yang berniaga secara sambilan tetapi lama kelamaan perniagaan tersebut mendatangkan hasil lumayan sehinggakan pendapatan perniagaan tersebut jauh melebihi pendapatan kerja hakiki. Di sini ramai yang membuat keputusan terburu-buru untuk meletak jawatan dan meneruskan perniagaan yang sedia ada. Tidak lama selepas itu, ada yang mengalami kerugian dan pada masa sama tidak mendapat pekerjaan dalam masa terdekat.

Ini biasa terjadi kerana kekurangan ilmu dalam pengurusan perniagaan. Oleh itu, jika benar-benar hendak menukar alam pekerjaan ke alam perniagaan, eloklah belajar dulu ilmu pengurusan perniagaan dan tidak lupa juga ilmu perakaunan. Pakar perniagaan menyarankan agar anda seharusnya mempunyai 6 hingga 12 bulan simpanan sebelum meletak jawatan untuk bernaga secara sepenuh masa.

Perlu diingati simpanan 6 hingga 12 bulan itu tidaklah termasuk dengan modal pusingan perniagaan anda. Ramai yang mencampukan duit perniagaan dengan duit peribadi, dan inilah satu kesilapan yang besar.

Tidak kiralah anda berniaga secara sambilan semasa bekerja atau anda terus mula memilih untuk berniaga sebagai kerjaya utama anda, asingkanlah duit peribadi simpanan anda dengan duit modal pusingan. Belajarlah ilmu perakaunan kerana ini bukan saja penting untuk pengurusan perniagaan anda malah ini akan membolehkan anda membayar cukai pendapatan anda.

#8 – Pelaburan

Belajarlah selok-belok pelaburan terlebih dahulu sebelum mencuba. Ini penting supaya anda dapat membezakan skim pelaburan yang betul dan selamat daripada skim cepat kaya. Sementara nak belajar lebih mendalam lagi, boleh laburkan di skim yang dijamin kerajaan. Misalnya, ASB dan juga Tabung Haji. Untuk melabur, anda tidak perlukan duit yang terlalu banyak. Apa yang penting adalah disiplin diri dan konsisten setiap bulan. Disarankan oleh pakar, laburkan 10% dari gaji ke arah pelaburan setiap bulan.

#9 – Penyucian harta

Ingatlah segala harta kita datangnya dari Allah SWt. Tanggungjawab kita menunaikan rukun Islam yang keempat, iaitu zakat adalah sangat penting untuk penyucian harta. Secara amnya, hanya 2.5% dari pendapatan wajib dikeluarkan zakat.

Kirakan jumlah untuk dibayar sebagai zakat pendapatan dan lakukan pemotongan bulanan. Dengan cara ini, pengurusan menjadi lebih cekap, pahala pun dapat dan rebat cukai pendapatan pun dapat sekali.

Sebagai umat Islam, kita juga digalakkan untuk bersedekah. Sediakan tabung sedekah dimana duit syiling lebihan yang ada dipoket diletakkan dalam tabung tersebut. Sedekah tidak akan mengurangkan harta malahan lebih membuka pintu rezeki. Jadi usaha takut untuk bersedekah.

#10 – Perlindungan

Dengan segala usaha menguruskan dan mengukuhkan status kewangan kita, jangan dianbaikan aspek perlindungan supaya bersedia jika berlakunya musibah yang tidak diduga.

Usah mengharapkan SOCSO semata-mata. Insuran boleh memberikan perlindungan sekiranya berlaku musibah. Bagi umat Islam, ambillah pakej takaful kerana pengurusan pelaburan syarikat takaful adalah patuh syariah berbanding insuran konvensional. Pakej takaful menyediakan kemudahan elaun sekiranya dimasukkan di hospital. Pampasan dari takaful boleh dihibahkan pada waris dan pengurusan pengagihan hibah adalah lebih cepat berbanding wasiat dan faraid. Jadi bekalan kewangan waris terjamin dan mereka tidak perlu menanggung kesusahan selepas ketiadaan anda.

Oleh itu dapatkanlah perlindungan terbaik melalu pakej takaful yang sesuai buat anda. Banyak kelebihan jika mengambil takaful pada usia yang muda. Untuk bermula, bolehlah mengambil pakej yang paling murah terlebih dahulu tetapi naik traflah apabila status kewangan semakin kukuh.

Sebagai penutup, orang muda digalakkan mempelajari aspek-aspek kewangan yang dibincangkan tadi supaya status kewangan di masa hadapan lebih terjamin. Catitkan perbelanjaan dan cubalah menyimpan sebanyak mungkin supaya dapat digunakan untuk tujuan simpanan, pelaburan dan perlindungan yang dapat menjamin masa depan anda. Oleh kerana orang muda banyak masa terluang, maka manfaatkanlah dengan mencari sumber pendapatan sampingan supaya dapat memberikan keselesaan hidup disamping menambahkan simpanan dan pelaburan yang sedia ada. Namun usah lupa pada aspek penyucian harta dan juga perlindungan seperti yang dibincangkan tadi.

Leave a Comment

Your email address will not be published.

error: Content is protected !!