Beza faraid, hibah dan wasiat

Pada ketika ini banyak kedengaran masalah dari segi pengagihan warisan harta umat islam yang menyebabkan banyak masalah pergaduhan dan rosaknya hubungan silaturahim antara ahli keluarga dan waris akibat perebutan harta. Umat islam pada hari ini tidak cakna mengenai pewarisan harta sesudah meninggal lalu timbulnya masalah ini.

Sebenarnya perkara ini boleh dielakkan dengan adanya ilmu mengenai perwarisan harta. Terdapat 3 instrumen yang digunakan dalam pengurusan agihan harta kepada waris. Namun, ramai pada hari ini masih tidak mengetahui perbezaan antara faraid ,hibah dan wasiat. Dalam artikel kali ini akan menerangkan maksud faraid, wasiat dan hibah serta perbezaannya.

Faraid
Faraid ialah suatu hukum mengikut perundangan Islam yang menentukan ketetapan dalam pembahagian harta pusaka kepada waris berasaskan yang telah ditentukan syarak.

Waris- waris yang sah layak dalam ketetapan ini adalah seperti anak, suami, isteri, ibu, bapa dan lain-lain.Harta yang akan dibahagikan adalah baki setelah ditolak segala kos urusan jenazah, hutang-hutang arwah sama ada berbentuk agama (seperti zakat, nazar dan lain-lain) atau hutang kepada manusia serta untuk menunaikan hajat wasiat arwah sebelum meninggal yang dibenarkan oleh hukum syarak.

Mereka yang layak menerima harta pusaka terdiri dari jenis 3 pertalian iaitu hubungan keturunan, perkahwinan dan juga wala’ (hubungan kekeluargaan). Seorang Isteri adalah termasuk dalam pertalian waris yang layak menerima pusaka melalui hubungan perkahwinan

Wasiat
Wasiat pula ialah pemberian harta yang berlaku atau diberikan kepada penerima yang bukan waris selepas pewasiat tersebut itu meninggal dunia.

Lazimnya wasiat adalah satu bentuk “perjanjian” yang diucapkan atau didokumenkan secara bertulis yang sah dari segi undang untung ketika pewasiat masih hidup, di mana proses pemindahan atau penyerahan harta hanya berlaku setelah pewasiat meninggal dunia.

Contoh mudah adalah apabila seseorang berwasiat supaya serbahagian hartanya diserahkan kepada rumah anak yatim. Dengan wasiat itu maka pemberian mestilah berlaku setelah individu yang berwasiat itu meninggal dunia.

Berbeza dengan hibah, dimana pemilik harta boleh hibahkan hartanya kepada 100% hartanya kepada sesiapa yang dikehendakinya, wasiat pula hanya terhad pada 1/3 daripada jumlah harta yang boleh diagihkan. Jika hendak diwasiatkan harta lebih daripada 1/3, perlulah dilakukan dengan persetujuan kesemua waris-waris yang lain.

Kedua-dua wasiat dan hibah adalah sunat dari segi hukumnya dan dianjurkan dalak Islam supaya dapat meraih pahala di akhirat. Namun, perlu diingati, pelaksanaan wasiat adalah wajib terhadap waris yang masih hidup untuk memastikan pengagihan harta yang diwasiatkan itu dilaksanakan.

Hibah
Hibah adalah satu bentuk pemberian hadiah atas dasar kasih sayang secara ikhlas oleh penghibah ketika masih hidup tanpa mengharapkan sebarang pembalasan dari pewaris atau bukan waris. Hibah dilakukan melalui proses ijab dan qabul dan pindah milik hibah boleh dilakukan ketika penghibah masih hidup atau selepas kematiannya.

Untuk hibah ini penghibah boleh memberikannya pada sesiapa saja tanpa perlu persetujuan waris. Selain itu jumlah hibah yang diberikan adalah tanpa had mengikut kadar atau jumlah yang ditentukan oleh penghibah.

Hibah boleh diberikan kepada pewaris atau bukan waris yang belum akil baligh di mana ianya boleh diuruskan oleh wakilnya. Jumlah harta untuk diberikan sebagai hibah boleh dilakukan tanpa perlu persetujuan waris.

Konsep hibah yang dibolehkan Islam ini boleh mengelakkan pertelingkahan antara waris dan bukan pewaris apabila berlaku sesuatu kematian lebih lebih lagi dalam keluarga yang mempunyai anak angkat atau bila mana penghibah berniat melakukan sedekah dengan memberikan hibah pada mana mana badan kebajikan setelah kematiannya .

Terdapat juga dalam keadaan tertentu penghibah tidak mempunyai waris jadi hibah boleh digunakan sebagai satu jalan bagi mengelakkannya di bekukan oleh organisasi Amanah.

Rumusan

Ketiga-tiga hibah, wasiat dan faraid adalah instrumen yang penting dalam pengagihan harta selepas meninggal dunia. Artikel ini menerangkan perbezaan tiga instrumen ini bukanlah untuk membandingkan mana yang lebih baik, tetapi adalah untuk menunjukkan instrumen yang boleh digunakan untuk tujuan pengagihan harta sesuai dengan kehendak pemilik harta. Oleh itu, perancangan dapat dibuat dengan lebih teliti dan terancang.

Persengketaan dalam keluarga Islam sering berlaku disebabkan tidak puas hati terhadap pembahagian harta pusaka sehingga berlarutan di mahkamah. Oleh pengagihan harta pusaka mestilah dirancang supaya dapat mengelakkan pertelingkahan antara waris-waris dan supaya pengagihan harta dapat dilaksanakan dengan lebih teratur.

Leave a Comment

Your email address will not be published.

error: Content is protected !!